Pages

Thursday 20 June 2013

Jika anak dibesarkan dengan...

Jika anak dibesarkan dengan celaan

Ia belajar memaki...

Jika anak dibesarkan dengan permusuhan

Ia belajar berkelahi...

Jika anak dibesarkan dengan cemuhan

Ia belajar rendah diri...

Jika anak dibesarkan dengan hinaan

Ia belajar menyesali diri..

Jika anak dibesarkan dengan toleransi

Ia belajar menahan diri..

Jika anak dibesarkan dengan dorongan

Ia belajar percaya diri..

Jika anak dibesarkan dengan pujian

Ia belajar menghargai...

Jika anak dibesarkan dengan sebaik-baiknya perlakuan

Ia belajar keadilan...

Jika anak dibesarkan dengan rasa aman

Ia belajar menaruh kepercayaan...

Jika anak dibesarkan dengan dukungan

Ia belajar menyenangi diri sendiri...

Jika anak dibesarkan dengan kasih sayang dan persahabatan

Ia belajar menanamkan cinta dalam kehidupan....


SUMBER  http://nurazizahyahaya.blogspot.com/

Aku Yang Berdosa...

Biarkan aku di sini
menatap dosa yang melata
aku bukan siapa siapa
hanya hamba yang sering berdusta
aku sering berdusta kepada-MU
wahai Allah yang sentiasa ada
aku tidak tega
meminta segala
tapi aku tetap sedia ada
menambah dosa demi dosa
Pahala milik aku entah ada entah tiada
tapi dosa yang aku ukir sentiasa berganda...

Tuesday 18 June 2013

Gasteruk

Hari ni aku berpuasa, Alhamdulillah bertahan juga sehingga waktu berbuka, walau dalam keadaan kesihatan tidak memberansangkan. Aku amat kecewa dengan prestasi diri dalam menunaikan kewajipannya-mengecewakan kerana gastrik melanda. Makin terasa ketuaan diri.

Kekuatan puasaku sudah tidak macam dulu. Jika tidak disertai dengan 'Alpha Lipid' pada malam sebelum tidur, ketahanan puasaku akan layu, kekadang sampai ke satu peringkat aku terpaksa berbuka awal. Aku seolah-olah seperti kanak-kanak yang baru belajar berpuasa.

Bila aku bercakap tentang Alpha Lipid, jangan salah faham ye...Aku bukan ahli, bukan juga promoter Alpha Lipid, tapi aku sekadar pengguna yang hanya membeli di kiosk sahaja. Aku ceritakan di sini sekadar cerita biasa sahaja, atau mungkin juga boleh diambil manfaat oleh mereka yang bermasalah macam aku. Setakat ini, Alhamdulillah ada kesan yang positif untuk diriku.

Tadi lepas balik kerja aku terus mandi, kemudian tidur sehingga hampir jam 5.00 petang. Bila bangun, rasa agak segar namun keletihan amat dirasai. Badan rasa sangat lesu. Dada dan perut terasa sedikit tajam.

Aku terpaksa bangun juga untuk memasak menu iftar, aku juga tidak mahu membiarkan diriku larut dalam kelesuan.

Aku tahu, aku perlu mencari sebanyak-banyak persediaan untuk aku lebih bersedia menyambut kedatangan tetamu istimewa yang bernama Ramadhan.

Sunday 16 June 2013

Tengking...Herdik...

Aku paling tak suka tengok emak bapak (yang aku selalu tengok emak lah) yang suka tengking menengking, herdik mengherdik si anak kecil. Tak sengaja tumpahkan air, tengking.Tak sengaja tumpahkan nasi, tak sengaja pecahkan pinggan mangkuk, tak sengaja tumpahkan makanan ke lantai, tak sengaja kotorkan pakaian, semuanya ditengking diherdik. Tidakkan emak bapak tidak fikir yang semua itu berlaku di luar kawalan. Bukannya sengaja pun.

Apakah kalian wahai ibubapa tidak pernah melakukan kesalahan. Sudah tua, sudah berusia pun kalian masih membuat kesilapan yang sama.

Apakah kalian lupa yang kalian akan disoal kelak tentang kesalahan kalian dalam mendidik anak yang dipinjamkan itu...Sedarilah wahai ibu dan bapa...

Wednesday 12 June 2013

"Wow. Islam is amazing!!!"

Lelaki Inggris bertanya: "Kenapa dalam Islam wanita tidak boleh jabat tangan dengan Lelaki?"
Syeikh menjawab: "dapatkah kamu berjabat tangan dengan ratu Elizabeth?
Lelaki Inggris menjawab: "Oh tentu tidak boleh! Cuma orang-orang tertentu saja yang dapat berjabat tangan dengan ratu."
Syeikh tersenyum & berkata: “Wanita-wanita kami (Kaum muslimin) adalah para ratu, & ratu tidak boleh berjabat tangan dengan Lelaki sembarangan (yang bukan mahramnya).”
Lalu si Inggris bertanya lagi, "Kenapa perempuan Islam menutupi tubuh dan rambut mereka?"
Syeikh tersenyum dan punya 2 coklat, ia membuka yang pertama terus yang satu lagi tertutup. Dia melemparkan keduanya ke lantai yang kotor.
Syeikh bertanya: “Jika saya meminta Anda untuk mengambil satu coklat, mana yang Anda pilih?"
Si Inggris menjawab: "Yang tertutup...”
Syeikh berkata: “Itulah cara kami memperlakukan dan melihat perempuan kami.”
Si Inggris menjawab: "Wow Islam is Amazing...”
COPY PASTE DARI: FB Islam Agama Ku.

Sunday 9 June 2013

Keperluan Aku

InsyaAllah, bulan depan aku akan berpindah rumah. Jarak rumah baru lebih dekat dengan tempat kerjaku.

Banyak barang yang memerlukan aku beli yang baru. Antaranya:

1. Perabot
-Rak dapur gas
-Meja 'study'
-Rak buku
-Kerusi
-Meja Jepun
-Tilam

2. Alat Elektrik
-Televisyen
-Kipas angin
-Peti sejuk
-Oven
-Periuk nasi
-

3.Lain-lain
-Set pinggan mangkuk
-Bunga hiasan
-Tong gas

Banyak juga nampaknya barang yang perlu aku beli. Apapun aku wajib mendahulukan mana-mana yang patut didahulukan. Mudah-mudahan Allah memberi pimpinan kepadaku dalam  membereskan segala kerjaku dengan baik. Amin.





Saturday 8 June 2013

Persediaan

Alhamdulillah, aku baru sahaja selesai menggosok lima pasang pakaian kerja. Aku tidak seperti orang lain, aku agak malas kalau esok nak kerja, malam baru gosok baju.Ataupun, pagi nak pergi kerja, pagi juga menggosok pakaian segala.  Apapun sesekali ada juga aku bertabiat begitu jika ada kemalasan gosok pakaian banyak-banyak...tapi itu jarang-jaranglah...ehe.

Pagi tadi walau aku terlewat bangun tidur, aku rasakan aku terlalu sayangkan masa hari ini. Masa yang berbaki hari ini aku manfaatkan betul-betul. Syukur, banyak kerja sempat aku lakukan, termasuk mengemas bilik (Erm, tak habis-habis mengemas kan :) ). Sempat menggosok, membasuh pakaian dan macam-macam kerja lagi aku buat.

Hari ini, mak, abang dan dua adik akan datang ke rumah. Maka, makin keraplah aku berkemas. Hehe...itu saja catatan aku buat masa ini, jumpa lagi ye!


Jom Ubah

Hari ini ada jemputan kenduri berhampiran tempat kerja. Lebih setengah jam juga kalau memandu dari rumah. Entah, rasa malas pula mahu berkenduri.Sudahlah hari ni aku terlewat bangun, maka banyaklah masa terbuang. Malam tadi aku sibuk mengemas tongkang yang pecah, akhirnya pagi ini  aku keletihan.

Allah, kenapa hatiku tetiba berkecamuk. Bermacam perkara berlegar di kepala. Banyak perkara yang mahu aku selesaikan termasuk yang melibatkan sikap negatif orang lain.Aku mahu sekali sisi negatif itu diubah kepada sisi positif, jalannya penuh liku, lorong yang dilalui penuh duri. Sudah lama aku berusaha namun hasilnya tetap begitu.

Aku tahu, bahkan akui mengubah sikap orang lain bukanlah perkara mudah. Sikap itu, jika sudah sebati dalam jiwa dia, besar kemungkinan tidak akan dia ubah melainkan dengan usaha dan kemahuan dia sendiri. Begitu juga dengan sikap negatif yang ada pada diri aku, jika aku sendiri tidak mahu berubah, sikap itu akan terus kekal dalam diri aku. Jom...muhasabah diri.

NOTA:

Entri keenam ini, aku cuba ubah kata ganti diri 'aku' daripada 'saya'. Oleh kerana blog ini aku anggap seumpama 'diari' maka banyak monolog diri terluah di sini, jadi aku fikir 'aku' lebih relevan berbanding 'saya'. Pendapat kalian bagaimana?




RM500?

Ya Allah, seolah-olah rasa tidak percaya bahawa RM500 itu saya punya, walau hakikikatnya duit itu saya punya :)

Saya punya satu tabiat, iaitu malas nak korek banyak kali mesin ATM, jadi saya akan 'draw' duit banyak sedikit bagi mengurangkan kekerapan menghadap mesin ATM. Apabila duit telah dikorek, saya akan menyelitkan beberapa keping di mana-mana tempat peribadi yang saya kira agak selamat. Ini bagi mengelakkan penyakit tidak sedar diri ketika berbelanja.Sesiapa pun tidak akan menyangka yang terselit duit di situ. 

Baru sebentar tadi, apabila mata sudah tidak larat untuk melihat bilik yang seakan seperti tongkang pecah maka 'perlahan-lahan' saya berkemas. Memaksakan diri melakukan kerja yang paling tidak disukai-melipat kain. Tanpa disangka-sangka saya 'terjumpa' duit yang tidak saya cari itu. 

Ya Allah...rasa sangat seronok walaupun duit itu memang kepunyaan saya. Saya sudah lupa sebenarnya tentang duit tersebut.

Terima kasih Allah...Engkau Yang Maha Alim - amat mengetahui yang aku bakal menggunakan agak banyak fulus dalam masa terdekat ini.

Gambar dari Pakcik Google

Friday 7 June 2013

Sakit Kepala

Jam menunjukkan pukul 5.09 petang.

Kepala saya agak berat. Ye lah, baru bangun dari tidur.

Orang kata tak elok tidur lepas asar. Erm, kalau sudah sakit kepala takkan mahu ditahan juga. Penat pun  ada juga. Malam tadi tidur-tidur ayam je. Mungkin kepenatan memandu dalam 3 jam dari kampung halaman. Petang semalam saya sudah selamat sampai ke daerah tempat kerja. Alhamdulillah.

Walaupun sekolah akan dibuka pada hari Ahad, tapi Jumaat tetap turun kerana ada program untuk murid tahun 6. Ikhlaskan hati, insyaAllah Allah akan ganjari.

Itu saja setakat ini. Mudah-mudahan bermanfaat :)

Thursday 6 June 2013

Dik...Kak...Makcik...

Erm, adik-adik penglipur lara tiada kat rumah. Keluar makan dengan mama.

Sambil saya berjeda melayan Samarinda: Epilog Cinta Khirana, peluang saya ambil untuk menarikan qalam, menghiasi laman yang tidak seberapa ini dengan cerita juga tidak seberapa.

Pernahkah sahabat pergi pasaraya Mydin? Haha...soalan apalah ni, takkan tak pernah kan? Ye, pasti pernah bagi kita yang bergelar insan marhaen. Kalau golongan bangsawan, golongan atasan mustahil rasanya mereka mencemar dulu membeli dan membelah di Mydin. Jatuh lah saham mereka nanti.

Erm, ada satu kisah sebenarnya yang menyebabkan saya pernah merajuk hati dengan Si Mydin. Rajuk ini sebenarnya sekadar rajuk  sendiri, rajuk yang memerlukan saya memujuk diri sendiri. Tidak mungkin pihak Mydin sudi memujuk hatiku yang penuh lara tika itu.

Alkisahnya begini....

Satu ketika dahulu, sewaktu saya masih berada di 'kerusi' kolej, macam biasa bagi seorang 'student' yang sentiasa menghadapi kekangan fulus, apatahlagi dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang miskin sudah pastilah Mydin menjadi pilihan utama.

Banyak juga barang yang saya beli ketika itu. Barang yang saya paling ingat ialah bedak 3A (AAA) yang dibeli. Setelah beratur di kaunter pembayaran, mengambil resit pembayaran saya melangkah keluar dengan bangganya...hehe (Bangga ke?).  Ting...tetiba saya terdengar bunyi tersebut. Tanpa syak wasangka, dengan hati yang paling lurus, saya meneruskan langkah paling bergaya...haha. Tiba-tiba..."Dik...." Terdengar satu suara memanggil. Saya dengan perasaan neutral dan lurus, tanpa teragak -agak pergi mendapatkan suara si pemanggil.

"Adik, masuk ke pejabat sekejap." Arah suara yang sama.

Pada masa inilah, baru saya merasakan kelainan situasi.  "Apahal ni". Hati berbisik sendiri.

Tanpa berfikir apa-apa syak wasangka, saya dipimpin masuk ke pejabat kecil di tingkat bawah Mydin.

"Oh..." Hati kembali berbisik dengan begitu memahami apabila saya diminta agar mengizinkan 'handbag' murah saya diselongkar. Saya benarkan sahaja, tanpa rasa bersalah sebesar hama pun. Muka saya pada waktu itu langsung tiada menunjukkan ciri-ciri orang bersalah, tetapi sedikit rasa menyinga dengan apa yang berlaku.

Kenapa saya menyinga?

Pastinya saya menginga kerana saya yang tidak bersalah ditahan seperti orang bersalah. Setelah dipesiksa beg tangan saya, mereka berpuas hati, dan melepaskan saya.

Sampai di rumah, baharu saya tahu bahawa ramai yang senasib dengan saya pada hari itu disebabkan 'kesilapan teknikal' pada sistem 'penyelenggaraan keselamatan?' (saya tidak pasti istilah yang tepat).

Semalam, Rabu, peristiwa itu berulang lagi tapi dengan pangkat yang berbeza.

Ceritanya agak sama... Ketika keluar dari pintu keluar Mydin..

."Kak..." Ada satu suara memanggil.

"Ye?"

"Masuk sekejap..." Si pekerja, meminta resit pembelian untuk diperiksa.

Saya dengan wajah dan hati yang murni terus menghulurkan resit tersebut. Resit dikembalikan, kemudian diarahkan agar saya 'try' keluar dari  melalui pintu keluar 'bermagnet' itu. Saya keluar dengan hati yang lurus, sambil melihat raut wajah si pekerja, beliau anggukkan kepala, saya susuli dengan ucapan terima kasih.

Saya tak tahu apakah saya akan melalui lagi episod sebegini dengan pangkat yang lebih tinggi...."Makcik..." Apakah pekerja  Mydin akan memanggil saya lagi 10 tahun akan datang dengan cerita yang sama..." kesilapan teknikal". Oh...

Saya tidak hadapi situasi begini di pasaraya lain yang pernah saya pergi...Giant, The Store, Jusco, Sogo...dan banyak lagi yang tidak cukup ruang untuk ditulis satu persatu.

Itu saja cerita saya buat kali ini. Bila ditilik panjang pula entri kali ini. Mudahan ada manfaatnya. Jumpa lagi.

Nilai harga barang sebanyak ini pada zaman sekarang: RM103.xx


 


Tuesday 4 June 2013

Kenapa Harus Berdengki

Hai pelik betul perangai manusia ni, mahu berdengki sahaja. 

Pelik? Oh, tidak. Allah dah sediakan syurga dan neraka. 

Untuk orang baik dan juga untuk orang jahat. 

Relevannya, neraka  sudah tentu Allah sediakan untuk golongan, antaranya untuk manusia memiliki salah satu dari sifat mazmumah. Hasad dan dengki sudah tentu termasuk dalam golongan sifat ini.

Hai manusia...tiada kerja lainkan kamu mahu lakukan. Tiada benda lainkan kamu mahu usahakan, sehingga semua yang kamu nampak untung di pihak dia, kamu juga mahu untung yang sama. Bila kamu lihat si fulan itu jual sayur, nampak untung kamu mahu ikut juga, bila kamu lihat si fulan ini jual apam balik kamu pun mahu ikut jugak. Langsung tidak boleh lihat orang lain senang di mata kamu.

Bukan si fulan tidak mahu berkongsi rezeki, tapi si fulan hanya mahukan 'keberadaban' dalam berniaga. Bersainglah...bersainglah selagi kamu tidak keluar dari sempadan hasad.
  





Salam Perkenalan

Assalamualaikum,

Salam perkenalan buat semua.

Sudah lama tidak 'bloging', tidak ber'blogging' dalam erti kata tidak menulis blog.

Nampaknya facebook sudah mengambil alih tugas 'blogging' pada diri saya.Diri kalian mungkin tidak begitu.

Alkisahnya, saya pernah ada blog dan masih wujud blog itu, namun sudah lama tidak aktif... Ya, antara alasannya sudah tentu saya lebih cenderung ke 'facebookk'. Kekadang rasa rindu untuk 'blogging' bila ke sana ke mari membaca blog orang lain. Erm, blog saya yang dahulu agak berat pengisiannya, itu juga salah satu sebab saya jadi malas.

Saya harap, dengan tema 'santai' ini saya jadi rajin, minda jadi tajam bila sentiasa diasah. InsyaAllah.

Rasanya itu dulu buat artikel pertama. Hingga jumpa lagi. Saya akhiri dengan salam perkenalan buat semua.

Terima kasih bagi yang sudi menyinggah. Jika tidak, cukuplah blog ini menjadi asahan bakat saya.

Jumpa lagi

Wassalam :)